Menu

POLIS TAHAN DUA SUSPEK KES SAMUN DAN RAGUT

POLIS TAHAN DUA SUSPEK KES SAMUN DAN RAGUT

REMBAU, 22 Dis - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai aktif dalam kes samun dan ragut di tiga daerah di Negeri Sembilan sejak Mei hingga Disember tahun ini. 

Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Ibrahim Sharif berkata mereka yang berumur 22 tahun dan 17 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Teluk Kemang, Port Dickson pada kira-kira pukul 7.20 pagi Rabu lepas.

"Siasatan mendapati selain menjalankan aktiviti samun dan ragut di daerah Rembau, Port Dickson dan Seremban, kedua-dua suspek yang berasal dari Rembau ini turut dipercayai menjalankan aktiviti mencuri motosikal.

"Semasa pihak polis tiba di lokasi berkenaan, kedua-duanya berada di dalam bilik sebelum cuba untuk melarikan diri melalui balkoni. 

"Bagaimanapun, suspek wanita terjatuh dari tingkat lima kondo tersebut akibat terlepas genggaman tangan daripada suspek lelaki," katanya di sini, hari ini. 

Katanya suspek wanita kini dilaporkan koma manakala suspek lelaki mengalami kecederaan di kepala dan patah di kedua-dua belah tangan.

Mereka kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, katanya.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas daripada mereka ialah 16 dompet, 12 beg tangan, tiga baju sweater, sebuah motosikal, enam telefon bimbit serta 13 keping 'sim card'. 
Katanya pihaknya turut menahan lima lagi individu berusia 18 hingga 25 tahun yang berada di ruang tamu kondominium itu ketika operasi mengesan dan menahan kedua-dua suspek dijalankan. 

"Daripada jumlah itu, empat lelaki yang ditahan disahkan positif dadah jenis heroin manakala seorang lagi, wanita berumur 20 tahun dibebaskan," katanya. 

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS