Menu

POLIS TAWAU TAHAN DUA LELAKI MILIKI DADAH JENIS SYABU

Tawau, 23 Dis - Polis Bahagian Narkotik Tawau menahan dua lelaki seorang daripadanya warga Indonesia kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 252 gram bernilai RM30,000 di Jalan Chen Look di sini pagi semalam.  

Ketua Polis Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata lelaki yang masing-masing berusia 40 dan 47 tahun itu ditahan hasil maklumat, intipan dan pemerhatian ke atas sebuah motosikal yang diletakkan di tepi jalan di kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 10 pagi.
"Semasa anggota polis narkotik menghampiri kedua-dua lelaki itu telah melarikan diri dan pembonceng motosikal memegang satu beg plastik warna biru muda di tangan kanannya," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Awang Besar berkata warga Indonesia yang berusia 40 tahun itu didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan positif dadah jenis ketamin.

Beliau berkata kedua-duanya akan ditahan reman sehingga 29 Dis ini bagi membantu siasatan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.  - BERNAMA 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS