Shah Alam, 31 Dis - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk menghantar pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) bagi membantu pihak berkuasa Indonesia mengenal pasti mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya yakin pasukan DVI dapat membantu pihak berkuasa Indonesia mengenal pasti mangsa pesawat terbabit berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki anggota pasukan berkenaan.
"PDRM menawarkan kepada pihak berkuasa Indonesia pasukan DVI. Jika mereka memerlukan bantuan, kita bersedia menghantar pasukan ini atas semangat kerjasama Asean serta sekiranya ada permintaan daripada mereka (pihak berkuasa Indonesia).
"Pasukan kita cukup berpengalaman dalam tugasan pengumpul dan identifikasi mayat. Sebelum ini mereka telah menyertai beberapa penugasan termasuk ketika kejadian tsunami di Acheh (Indonesia) dan kejadian pesawat MAS MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, Julai lepas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan untuk mangsa banjir di Pangkalan Udara Subang dekat sini, hari ini.
Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia mengesan enam jenazah pesawat itu di kawasan sekitar Selat Karimata, dekat Pangkalan Bun petang Selasa.
Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.
Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata selain memberi sumbangan berbentuk kewangan dan barangan keperluan, PDRM akan turut menggerakkan anggotanya bagi membantu membersihkan kawasan kediaman mangsa banjir.
"Buat masa ini seramai 10,000 anggota telah digerakkan untuk membantu dan kita jangka jumlah ini mungkin akan bertambah kerana selepas banjir surut, kita akan turut membantu membersihkan rumah dan bangunan-bangunan kerajaan yang kotor akibat kejadian ini," katanya. - BERNAMA