Menu

POLIS TAHAN TIGA INDIVIDU DISYAKI TERLIBAT LAPAN KES PECAH RUMAH

Tuaran, 13 Jan - Polis  menahan tiga individu termasuk sepasang  suami isteri, berumur antara 30 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam lapan kes pecah rumah  di sekitar daerah Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Abdul Fuad  Rashid Harun berkata dua daripada suspek itu, kedua-duanya lelaki ditahan pada 4 Januari lepas, pukul 7.51 malam ketika cuba memecah  masuk sebuah rumah di Taman Sinar Jaya.

"Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang tiba kurang dari lima minit ke tempat kejadian berjaya  menahan dua suspek lelaki yang gagal melarikan diri," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis  Daerah Tuaran, di sini hari ini.

Abdul Fuad berkata hasil maklumat daripada suspek, seorang wanita warga Filipina  turut  ditahan di sebuah rumah di Kampung Lapotong, Tamparuli pada jam 11.20 malam, hari yang sama, dan  polis menemui beberapa barang dipercayai barang curi.

Katanya antara barangan berkenaan ialah barangan kemas, telefon bimbit, komputer riba, jam  tangan dan mesin pemotong kayu dengan nilai keseluruhannya dianggarkan RM10,000.

Beliau berkata kedua-dua suspek lelaki berkenaan didapati positif dadah jenis syabu.-BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS