Kemaman, 5 Mac - Sebanyak 22,560 liter minyak diesel dirampas dalam serbuan yang dilakukan sepasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 ke atas sebuah lori tangki di sini, awal pagi tadi.
Serbuan telah diketuai oleh ASP Sobri Sudin bersama lima anggota dari Markas Taktikal PPM Kerteh, Terengganu.
Komander PPM W3 ACP Azmi Ibrahim berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kegiatan penyelewengan minyak diesel di daerah tersebut.
"Hasil risikan yang dijalankan, kita telah melakukan Operasi Landai di Kemaman Kuari, Telok Kalong pada pukul 1.20 pagi.
"Semasa ketua operasi memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kepada pemandu lori, suspek telah bertindak terjun keluar dari kenderaan bagi mengelakkan diri daripada ditahan.
"Minyak diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM42,864,"tambah beliau lagi.
Lori tangki dan muatan minyak diesel diserahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.