Kuantan, 2 April - Dua lelaki yang dikehendaki berhubung kes jenayah ditahan polis secara berasingan di Kempadang dan kawasan perumahan Seberang Balok dekat sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata, suspek pertama berusia 41 tahun, ditahan di Kempadang oleh anggota Cawangan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kuantan bersama Jabatan Siasatan Jenayah D4
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan bantuan unit kereta peronda (MPV).
"Semasa menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pada 6.30 petang. Pemeriksaan dibuat ke atasnya, namun tiada barang yang menyalahi undang-undang ditemui.
"Hasil siasatan, suspek didapati penjenayah yang dikehendaki berkait laporan di Balai Polis Bukit Ibam di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya di sini hari ini.
Sementara itu katanya, tangkapan seterusnya dibuat ke atas suspek berusia 27 tahun oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Beserah di kawasan Perumahan Seberang Balok pada 8.30 malam semalam.
Beliau berkata, semasa meronda di kawasan itu, polis terserempak dengan suspek juga dalam keadaan mencurigakan dan hasil siasatan mendapati dia turut dikehendaki berkait kes jenayah di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain katanya, polis kini giat memburu sebuah kereta Proton Saga hitam dengan nombor pendaftaran CBY 3507 yang dipercayai cuba melakukan jenayah pecah rumah di bandar ini.
"Terkini pada 12 tengah hari tadi suspek yang menaiki kenderaan itu kelihatan berlegar-legar di sekitar kawasan Taman Aman Damai, dekat sini. Suspek yang dipercayai lebih dari seorang itu disyaki meninjau persekitaran rumah di kawasan berkenaan sebelum cuba melakukan aktiviti jenayah," katanya.
Justeru itu, beliau memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan untuk melaporkan segera ke Bilik Gerakan IPD Kuantan di talian 09-5142999 atau berhubung dengan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti DSP Mohd Zaidi di talian 09-5652086.
Selain itu, kata Abdul Aziz, maklumat juga boleh disalurkan melalui peti pesanan di Facebook (FB) Polis Kuantan-HEA (hal ehwal awam) atau FB Polis Pahang dengan segera. - BERNAMA