TRANSFORMASI SISTEM SARAAN RANGSANG PRODUKTIVITI PDRM
TRANSFORMASI SISTEM SARAAN RANGSANG PRODUKTIVITI PDRM
Kuala Lumpur, 9 April – Menyedari kepentingan sumber manusia dalam organisasi, satu Pelan Strategik Sumber Manusia telah dirangka oleh kerajaan dalam usaha untuk memastikan penggunaan sumber modal insan yang optimum.
Selaras dengan itu, transformasi sistem saraan telah dilaksanakan untuk memenuhi permintaan jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dikenali dengan nama Transformasi Sistem Saraan, perlaksanaan sistem ini diharap dapat merangsang produktiviti para pegawai PDRM dalam menjalankan tugas mereka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dalam ucapannya berkata, secara amnya, skim ini hanya meliputi pegawai yang telah mencapai gaji maksimum dan akan mendapat 3% kenaikan daripada jumlah gaji asal mereka manakala bagi pegawai yang masih menikmati pergerakan gaji, kenaikan gaji tahunan (KGT) akan berjalan seperti biasa.
Beliau berucap dalam satu majlis dan taklimat khas berkenaan dengan Perlaksanaan Penambahbaikan Kaedah Pemberian Pergerakan Gaji Tahunan Dalam Jadual Gaji Minimum - Maksimum (JGMM) Bagi Perkhidmatan Awam yang diadakan di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, pagi tadi.
“Sehubungan dengan itu, bahagian pengurusan sumber manusia dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan bekerjasama dan berfungsi sebagai fasilitator dan memberi penerangan kepada pegawai yang terbabit,”
“Terima kasih kepada kerajaan khususnya pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana telah meluluskan permohonan jabatan untuk menambahbaik dan menyelaras pergerakan gaji pegawai,” jelasnya.
Beliau turut berharap agar perlaksanaan ini boleh dianggap sebagai pencetus semangat untuk pegawai PDRM agar lebih produktif dalam melaksanakan tugas.
Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohamad Zabidi Bin Zainal, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato' Alwi Bin Hj Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato' Sri Noor Rashid Bin Ibrahim dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) DCP Dato' Asri Bin Yusof serta tetamu kehormat yang lain.