TAWAU, 14 April- Polis menahan dua daripada tiga suspek kes pecah rumah di Taman Daya Usaha Hotspring, dekat sini semalam.
Dalam kejadian 4 pagi itu, tiga lelaki dilihat cuba memecah masuk sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan, sebelum dilihat jiran yang segera menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata sejurus menerima panggilan, tiga kereta peronda bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata apabila polis sampai di lokasi, ketiga-tiga suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira menuju ke arah Sekolah Kebangsaan Muhibbah Raya.
"Polis mengejar suspek selama 15 minit bagaimanapun kenderaan suspek terbabas berhampiran sekolah berkenaan. Dua suspek berjaya diberkas dan seorang lagi berjaya melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, di sini, hari ini.
Katanya polis turut merampas beg tangan jenama Louis Vuitton dan Ipad jenama Apple yang dipercayai disamun dari rumah berkenaan.
Awang Besar berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 27 dan 29 tahun berasal dari Kota Kinabalu.
Katanya kereta yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai kereta yang dilaporkan hilang di Green Millineum, Penampang pada 12 April lepas.
Polis, katanya, kini giat memburu seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh hingga 14 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.- BERNAMA