Menu

SEMBILAN LAGI SUSPEK DITAHAN DALAM KES BAKAR PONDOK PENGAWAL


Shah Alam, 24 April - Polis menahan sembilan lagi suspek berhubung dua pondok pengawal di Bandar Baru Klang diserang dan dibakar sehingga mengakibatkan kematian seorang pengawal Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata kesemua suspek ditahan Selasa lepas di Klang Utara dan Ulu Bernam.

Beliau berkata tiga suspek ditahan di Jalan Meru, Klang, lima di Jalan Changkat Asa, Ulu Bernam dan seorang di Jalan Teratai, Meru.

Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun bersenjata dan pemerasan, katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 12 telefon bimbit turut dirampas.

Mohd Adnan berkata kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

Beliau berkata secara keseluruhan setakat ini, 21 suspek berumur antara 22 hingga 59 tahun ditahan sementara saki baki kumpulan itu yang masih bebas sedang diburu.

Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan terbunuh manakala enam lagi cedera apabila dua pondok keselamatan di Taman Feugo, Bandar Baru Klang diserang sekumpulan individu.

Polis menahan 12 suspek sebelum ini.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS