Menu

DUA BERADIK RUGI RM35,000, SET BARANG KEMAS PUSAKA DIROMPAK

George Town, 28 April - Dua beradik terpaksa berputih mata apabila barang kemas pusaka keluarga lesap selepas rumah mereka di Jalan Bersih, Jelutong dipecah masuk semalam.

Mangsa berusia 62 tahun hanya menyedari kejadian selepas dimaklumkan adik perempuannya yang baru pulang pukul 4 petang.

Jurucakap polis berkata suspek dipercayai masuk ke rumah teres itu menerusi cermin tingkap nako yang ditanggalkan selepas mangsa keluar bekerja pada awal pagi.

"Cermin itu terlindung di sebalik tembok manakala rumah mereka terletak di barisan paling hujung dan siasatan di tempat kejadian mendapati jeriji besi tingkap turut dibengkokkan.

"Dua wanita berkenaan hanya tinggal berdua di rumah itu dan bekerja di sebuah kilang di sini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata antara barang yang dilapor hilang ialah set barangan kemas lama berupa rantai leher, rantai tangan, subang, cincin, loket dan seutas jam tangan berjenama Carlo Cardini bernilai RM35,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kes itu dan berkata lima bekas cap jari dikesan di tempat kejadian.

"Tiada kamera litar tertutup berdekatan kawasan itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta berhubung dengan balai polis berdekatan untuk membantu siasatan," katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS