Menu

PENGANGGUR DIBERKAS CUBA CURI KERETA TOK IMAM


Kuala Terengganu, 29 April - Seorang penganggur diberkas ketika dia cuba melarikan sebuah kereta milik seorang imam di masjid di Kampung Batu Rakit di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu bagaimanapun disedari beberapa jemaah yang melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berada berhampiran kereta tersebut yang terletak di perkarangan masjid, sebelum mereka menghubungi pihak polis.

Bagaimanapun cubaan pencuri untuk melarikan kenderaan itu bukan mudah kerana enjinnya tidak dapat dihidupkan kerana kereta itu tersadai di situ sudah hampir setahun.

Ini memberi kesempatan kepada pihak polis untuk tiba di masjid itu dan menahan seorang suspek berusia 31 tahun manakala rakannya sempat melarikan diri.

"Pemeriksaan mendapati kedua-dua pencuri itu datang ke masjid berkenaan dengan kereta yang nombor pendaftarannya adalah palsu dan dilapor dicuri di Kelantan," katanya.

Idris berkata pihak polis menemui pelbagai alatan untuk mencuri termasuk kunci, bateri, pemutar skru serta minyak kereta dalam kereta suspek.

Beliau berkata suspek yang ditahan turut mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan dadah.

Seorang lagi suspek yang bebas merupakan perancang utama kumpulan itu sedang diburu.

Bagi tempoh Januari hingga setakat bulan ini, sebanyak 33 kes pecah cermin kenderaan di kawasan masjid telah direkodkan selain tujuh kes membabitkan curi harta benda dalam masjid serta 12 kes curi motosikal di kawasan masjid dilaporkan di daerah ini.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS