Menu

POLIS JOHOR TINGKAT USAHA 'PUTIH' KAWASAN JENAYAH


Johor Bahru, 5 Mei - Polis Johor akan meningkatkan usaha 'memutihkan' kawasan-kawasan yang sering dicemari jenayah dalam usaha membendung kegiatan itu di negeri ini, kata Ketua Polis Johor Dato' Rusli Ahmad.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 15 kawasan 'hitam' itu dikenal pasti di daerah ini setelah dipantau sejak beberapa tahun lepas.

"Konsep memutihkan kawasan hitam jenayah pernah dibuat di Kuala Lumpur, dengan mengenal pasti kawasan yang banyak kegiatan jenayah seperti dadah dan gangster," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bahru di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di negeri ini supaya mengesan kawasan 'hitam' itu dengan melakukan pemantauan meluas.

Pada masa sama, katanya mereka perlu saling berbincang cara untuk mengatasi jenayah berkenaan.

Rusli berkata selepas mengenal pasti kawasan hitam itu, pihaknya akan
bekerjasama dengan agensi lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi 'membersihkan' jenayah di kawasan terbabit termasuk membina balai polis di kawasan berkenaan.

"Balai polis ini memudahkan penduduk membuat aduan, dan pada masa yang sama, polis boleh membuat pengawasan," kata beliau.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS