Menu

SEBANYAK 115 SAMAN DIKELUARKAN DALAM OPS RODA MELIBATKAN PELAJAR SEKOLAH

Kuala Lumpur, 11 Mei - Sejumlah 115 saman dikeluarkan Polis Trafik Kuala Lumpur dalam 'Ops Roda' melibatkan pelajar sekolah yang diadakan di luar kawasan Sekolah Menengah Batu Muda Sentul, di sini, hari ini.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain berkata kira-kira 50 buah motosikal telah diperiksa dan diambil tindakan dalam operasi dua jam setengah bermula 12.30 tengah hari tadi.

"Kesalahan yang dilakukan ialah tiada lesen memandu (12 saman), cukai jalan tamat tempoh (tujuh saman), tiada cermin sisi (28 saman) serta nombor plat motosikal yang diubahsuai (25 saman).

"Turut dicatatkan ialah nombor plat tidak lengkap (tujuh saman), tidak memasang lampu motosikal (sembilan saman), tidak menampal pelekat 'P'(Sembilan saman) dan tidak memakai topi keledar (18 saman)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Nadzri, sebanyak 21 buah motosikal dan sebuah bas sekolah turut disita atas kesalahan terbabit dan bas sekolah itu didapati pemandunya tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tidak melakukan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Jelasnya, kesemua kenderaan yang disita kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur.

BERNAMA

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS