Kuala Lumpur, 20 Mei- Polis Kuala Lumpur berjaya menurunkan kadar indeks jenayah sebanyak 27 peratus atau berkurangan 2,304 kes sejak awal tahun sehingga semalam berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Dato' Tajuddin Md Isa berkata dalam tempoh itu tahun lepas kes jenayah ialah sebanyak 8,415 kes dan menurun kepada 6,111 kes.
Antara kes yang berjaya dikurangkan ialah jenayah ragut yang menurun sebanyak 49.6 peratus atau 1,207 kes berbanding tahun lepas.
Beliau berkata kejayaan ini dicapai atas kesungguhan dan komitmen seluruh
warga polis serta program jenayah yang berkesan dengan kerjasama penduduk
setempat.
Berikutan itu, statistik menunjukkan jenayah samun berkawan tanpa senjata api, paling menampakkan penurunan sebanyak 55.3 peratus iaitu daripada 1,645 kes pada tahun lepas kepada 735 kes sehingga semalam.
Bagaimanapun, jenayah samun berkawan senjata api mencatat peningkatan dengan lapan kes dilaporkan setakat ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ketua Polis KL di dataran kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
"Keadaaan ini masih terkawal dan seharusnya terus dipantau oleh Jabatan Siasatan Jenayah," katanya.
Tajuddin berkata pembanterasan terhadap aktiviti pelacuran dan perjudian masih terus ditekankan kerana isu ini masih lagi menjadi kebimbangan masyarakat.
"Tiada kompromi dalam mengambil tindakan terhadap isu-isu sebegini, (dan) polis akan terus melaksanakan operasi bersepadu antara semua peringkat jabatan dan agensi kerajaan lain yang turut sama menguatkuasakan undang-undamg," katanya.
Beliau berkata tindakan yang diambil bukan sahaja untuk menurunkan kadar jenayah tetapi juga mengurangkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah yang trauma.- BERNAMA