Tindak tanduk mencurigakan seorang lelaki memberhentikan motosikalnya di tepi sebuah rumah di Batu 6, Jalan Gambang, Kuantan, membongkar cubaannya bersama rakan untuk memecah masuk kediaman tersebut awal pagi, semalam.
Cubaan mereka untuk melakukan jenayah itu bagaimanapun gagal apabila kelibat mencurigakan seorang daripada mereka berjaya dikesan sepasukan anggota polis yang kebetulan sedang melakukan pemantauan dan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut.
Tindakan pantas polis berjaya menghalang cubaan kedua-dua suspek berusia 26 dan 33 tahun itu daripada melarikan diri apabila mereka akhirnya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.
Sumber : Sinar Harian