Menu

GEMPA: TIADA KEROSAKAN DILAPORKAN DI DAERAH LAIN DI SABAH

Kota Kinabalu, 6 Jun- Tiada kerosakan dilaporkan setakat ini di kawasan Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu, Kota Belud, Tenom dan Beaufort yang turut merasai gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter, berpusat di Ranau semalam.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan berkata sehingga petang ini tiada gegaran susulan dirasai di daerah itu dan penduduk menjalankan kegiatan harian mereka seperti biasa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Mustaffa Maarof dan Ketua Polis Daerah Keningau DSP Douglas Ngeying Taong berkata keadaan di dua daerah itu juga berjalan seperti biasa susulan kejadian gempa kira-kira 7.15 pagi itu.

Mereka berkata tiada laporan mengenai kerosakan diterima daripada penduduk mahupun pemilik premis perniagaan.

Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, sebanyak 31 gegaran susulan berukuran antara 2.5 hingga 4.5 pada skala Richter berlaku sehingga hari ini, berpusat di Ranau.

Gegaran kedua kuat ialah pada 1.45 tengah hari ini berukuran 4.5 pada skala Richter yang dirasai hingga ke Kota Kinabalu.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS