KUALA LUMPUR, 8 Julai- Op Selamat 7/2015 sempena Hari Raya Aidilfitri, selama 15 hari bermula Jumaat ini (10 Julai), mengekalkan objektif yang sama dengan mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.
Mengekalkan tema terdahulu 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi', pendekatan operasi kali ini masih memfokuskan kepada penguatkuasaan undang-undang jalan raya, advokasi serta pencegahan jenayah serta 'omnipresence' (kehadiran polis).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sebanyak 120,000 anggota polis daripada semua jabatan akan terlibat dalam Op Selamat dan hanya 10 peratus daripada keseluruhan anggota dibenarkan bercuti.
"Semua cuti anggota polis trafik dibekukan pada setiap tahun bagi
memastikan kejayaan kempen tersebut. Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan objektif kempen ini dapat dicapai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Khalid merasmikan Majlis Pelancaran Ops Selamat 7/2015 sempena Hari Raya Aidilfitri, mulai 10 hingga 24 Julai ini.
Beliau berkata jumlah kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut di negara ini melibatkan angka korban yang tinggi antara 6,500 hingga 7,000 kes setiap tahun.
Katanya selain Ops Perangkap Had Laju dan Ops Motosikal, pihaknya memberi tumpuan kepada pelbagai kesalahan jalan raya termasuk memotong barisan dan dan melanggar isyarat lalu lintas.
"Usaha memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya perlu dilakukan secara bersama antara agensi berkaitan termasuk Telekom Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat,"
katanya.
Khalid berkata PDRM juga tidak akan melayan sebarang rayuan bagi saman yang dikeluarkan sepanjang Op Selamat dan mereka yang bersalah perlu membayar kompaun RM300.
Mengenai statistik kes pecah rumah dan kecurian bagi dua Op Selamat Hari Raya pada tahun lepas dan 2013, Khalid berkata ia menunjukkan penurunan sebanyak 142 kes atau 14.1 peratus.
Bagi kes kemalangan maut pula menunjukkan penurunan sebanyak 41 kes (15.9 peratus), namun jumlah kemalangan keseluruhan direkodkan meningkat sebanyak 654 kes (3.7 peratus).
Beliau berkata untuk tahun ini sehingga 28 Jun, kes kemalangan maut mencatat pengurangan sebanyak 165 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas, bagaimanapun jumlah keseluruhan kemalangan meningkat sebanyak 1.4 peratus.
Khalid berkata masyarakat diingatkan agar sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan rumah sebelum pulang ke kampung halaman, selain sikap prihatin jiran dalam memastikan keselamatan perumahan setempat sepanjang musim perayaan ini.
Katanya pemilik kediaman diingatkan memaklumkan kepada pihak polis dengan menghantar Borang Maklumat Balik Kampung di balai atau muat turun Portal Rasmi PDRM, sekiranya pulang ke kampung.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis memandang serius mengenai jenayah memalsukan Mykad dan ia bukan satu perkara baru malah berlaku di seluruh dunia.
Katanya polis sentiasa mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kes tersebut.
"Kita sedang bekerjasama dengan JPN untuk menaik taraf sistem data dalam talian sedia ada bagi memudahkan pihak polis membuat pengesahan ketulenan MyKad ketika membuat pemeriksaan sewaktu operasi," katanya.- BERNAMA