Menu

LELAKI DITAHAN BERHUBUNG KES WANITA TANPA PAKAIAN DITEMUI DALAM PARIT


Kota Kinabalu, 10 Julai - Polis menahan seorang suspek lelaki berumur lingkungan 20-an berhubung kes wanita tanpa pakaian yang ditemui di dalam parit berhampiran Restoran Dowish, Jalan Bundusan, Penampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Rosley Honden berkata, suspek ditahan kira-kira 10.36 pagi ini berdekatan perhentian bas di Jalan Bundusan, Penampang.

"Suspek warga tempatan ditahan pagi tadi untuk membantu siasatan, dia dipercayai mempunyai hubungan dengan mangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Kempen Op Selamat 7 sempena Aidilfitri di sini.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, katanya, ketika ini, mangsa masih belum dapat memberi keterangan secara terperinci berikutan trauma terhadap kejadian yang menimpa dirinya.

"Kita perlu tunggu keterangan daripada mangsa," katanya lagi.

Rosley berkata, Hospital Queen Elizabeth mengesahkan mangsa mempunyai kesan lebam di kepala dan mata selain adanya kesan serangan seksual terhadap dirinya.

Beliau berkata, mangsa seorang warga tempatan yang bekerja sebagai pembantu kedai di kawasan Jalan Bundusan dipercayai dicampak ke dalam parit itu pada pukul 9 pagi, Khamis sebelum ditemui orang ramai pada tengah harinya.

-BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS