Menu

POLIS KEDAH PANTAU 39 LOKASI 'PANAS' KEMALANGAN SEMPENA OP SELAMAT

Alor Setar, 12 Julai- Polis Kedah akan memantau 39 lokasi 'panas' kerap berlaku kemalangan bagi meminimumkan kadar kemalangan maut dinKedah pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis negeri Dato' Zamri Yahya berkata pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu di 39 lokasi "panas" yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan.

"Lokasi 'panas' yang akan diberi perhatian lebih 11 lokasi di Baling, Kota Setar (tiga), Kuala Muda (tiga), Kubang Pasu (tujuh), Kulim (tiga), Langkawi (satu), Padang Terap (tiga), Bandar Baharu (satu), Pendang (empat), Yan (satu) dan Sik dengan satu lokasi," katanya hari ini.

Pihaknya akan melakukan "Ops Perangkap Had Laju" dan "Ops Motosikal" untuk mengesan pesalah yang melanggar isyarat lalu lintas," katanya selepas merasmikan Kempen Op Selamat 7/2015 peringkat Kedah sempena Aidilfitri, hari ini.

Op Selamat 7/ 2015 Sempena Aidilfitri akan berlangsung selama 15 hari bermula 10 Julai 2015.

Menurut Zamri, kes kemalangan di Kedah pada 2013 dan 2014 menurun sebanyak 36 kes manakala bagi tahun ini sehingga 30 Jun sebanyak lima kes kemalangan maut berlaku, peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, sebanyak 979 pegawai dan anggota akan terlibat dalam Op Selamat bagi mengurangkan kes pecah rumah dan meminimumkan kemalangan maut di jalan raya sempena perayaan.

"Kita ingin memastikan keselamatan harta benda yang ditinggalkan sepanjang tempoh bercuti dan oleh itu rondaan peronda MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan dilakukan dengan kerap," katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 73 kes pecah rumah dan kecurian sewaktu Hari Raya dan pihaknya mahu menurunkan jumlah itu.

Mereka yang pulang ke kampung diharap dapat memaklumkannya kepada polis dengan menghantar 'Borang Maklumat Balik Kampung' yang boleh didapati di balai-balai polis atau dimuat turun melalui portal rasmi PDRM, katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS