Kota Kinabalu, 22 Julai - Kes kemalangan jalan raya, terutama kemalangan maut, yang direkodkan bagi Kota Kinabalu sejak 'Op Selamat' dilancarkan pada 10 Julai lepas hingga semalam menurun, kata Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra.
Bagaimanapun Chandra berkata sepanjang tempoh 11 hari Op Selamat berkenaan, berlaku peningkatan ketara dari segi pengeluaran saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.
Menurut Chandra statistik kes kemalangan serta jumlah saman yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu sepanjang Op Selamat berkenaan akan dikeluarkan selepas Op Selamat tamat.
"Trafik Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan ketara ke atas pengeluaran saman dan tumpuan pengeluaran saman masih lagi kepada kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan seperti melanggar lampu isyarat, memotong cara bahaya/garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Chandra berkata sepanjang tempoh berkenaan pihaknya mendapati tidak ada kes pecah premis perniagaan yang ditinggalkan seperti bank dan kedai emas.
Katanya dalam tempoh itu, sebanyak 2,270 lawatan oleh anggota PDRM KotaKinabalu dilaksanakan ke atas rumah yang ditinggalkan, bank, kedai 24-jam dan kedai emas.
"Terdapat satu kes pecah rumah dilaporkan setakat ini yang berlaku di kawasan Tanjung Aru. Walau bagaimanapun, pemilik rumah berkenaan tidak melaporkan kepada pihak polis semasa bercuti (meninggalkan rumah). Oleh itu, lawatan tidak dapat dilaksanakan oleh pihak polis," katanya.
Chandra menasihatkan pengguna supaya berhati-hati ketika berada di jalan raya manakala penduduk yang ingin meninggalkan rumah masing-masing untuk bercuti diminta memaklumkannya kepada balai polis berdekatan.
"Orang awam juga dinasihatkan menyalurkan maklumat sekiranya ternampak individu atau kenderaan yang mencurigakan berlegar-legar di kawasan perumahanmereka," katanya. - BERNAMA