Kepala Batas, 24 Julai- Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki yang baru sahaja merompak rumah seorang pegawai bank di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Azmi Adam berkata lelaki itu ditahan ketika bersembunyi di kawasan tanah perkuburan di Taman Bertam Indah, kira-kira 800 meter dari rumah mangsa, tiga jam selepas kejadian tersebut dilaporkan.
Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, lelaki tersebut memecah masuk rumah pegawai bank berkenaan dan melarikan pelbagai barang bernilai kira-kira RM10,000.
"Mangsa yang sedang tidur ketika kejadian terbangun apabila terdengar bunyi bising dan dia terserempak dengan lelaki terbabit dalam sebuah bilik di rumahnya menyebabkan suspek melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki terbabit ditahan kira-kira pukul 6 pagi dan polis menemui semula barangan yang dirompak termasuk empat utas jam tangan pelbagai jenama, telefon bimbit, sejumlah wang tunai dan alat permainan video.
Azmi berkata polis turut merampas peralatan pecah rumah dan pisau daripada lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai dua rekod jenayah serta positif dadah itu.- BERNAMA