Kuantan, 3 Ogos- Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah di Kampung Permatang Badak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan anggota Unit Rondaan Jenayah Bahagian Siasatan Jenayah diketuai ASP Mohd Nayan Mokhtar pada pukul 11 malam di kawasan berhampiran.
Beliau berkata kejadian disedari pemilik kira-kira pukul 3 petang semalam selepas melihat pintu hadapan rumahnya terbuka dan mendapati televisyen serta motosikal milik kawannya yang disimpan di dalam rumah telah hilang.
Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan hasil soal siasat, suspek mengaku menyembunyikan motosikal yang dicurinya itu di sebuah rumah di Sungai Isap Perdana di sini, kata Abdul Aziz ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata semakan mendapati suspek yang positif dadah itu juga memiliki rekod lampau berkait kes Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Pada masa sama, polis turut mencari seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah itu.
Sementara itu dalam kes berasingan polis memberkas seorang lelaki dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di bandar ini dalam satu rondaan cegah jenayah 6.30 pagi semalam, di Jalan Beserah, dekat sini.
Suspek berusia 41 tahun sebelum itu dilihat menunggang motosikal seorang diri dalam keadaan mencurigakan sebelum polis menghentikan kenderaannya untuk tujuan pemeriksaan.
Bagaimanapun suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.
"Hasil pemeriksaan polis menemui beberapa peralatan yang dipercayai untuk digunakan memecah rumah antaranya dua unit playar, pisau, lampu suluh, lima batang pemutar skru, empat pasang sarung selain beberapa barangan kemas dipercayai hasil curi," katanya.
Suspek yang memiliki 11 rekod jenayah lampau berkait kes penyalahgunaan dadah dan jenayah itu juga mengaku terlibat dalam dua kes pecah rumah termasuk yang terbaru kes pecah rumah di Air Putih pada pukul 4.30 pagi semalam. - BERNAMA