Kota Tinggi, 12 Ogos- Polis menahan dua lelaki warga Pakistan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti mengutip derma secara haram di sebuah taman perumahan, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata pihaknya menahan kedua-dua lelaki itu ketika sedang mengutip derma di Taman Kota, Batu 2, Jalan Lombong di sini, kira-kira pukul 3.45 petang semalam.
Kedua-dua suspek yang berpakaian jubah putih dan berkopiah ketika ditahan, berumur 24 serta 32 tahun dan seorang daripadanya tidak mempunyai pasport.
Rahmat berkata kedua-dua suspek telah ditahan reman selama 14 hari bermula semalam mengikut Akta Imigresen 1958 bagi mendapatkan pengesahan pasport serta menyemak pergerakan masuk ke negara ini.
Menurutnya, modus operandi kedua-dua lelaki warga asing itu ialah pergi dari rumah ke rumah dengan berpakaian jubah putih dan berkopiah untuk meminta derma kononnya bagi membina madrasah di Kashmir, Pakistan.
Rahmat berkata bagi menarik perhatian orang awam, kedua-dua suspek itu turut menggunakan surat dan sijil daripada Jabatan Agama Islam daerah.
"Kegiatan mereka bermula sejak 2012 termasuk di beberapa negeri lain antaranya Pahang, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor.
Mereka dipercayai menjalankan kegiatan mengutip derma itu dengan menggunakan kereta Perodua Myvi hitam dan hasil pemeriksaan mendapati tiada rekod hilang kenderaan dilaporkan ke atasnya.
Turut dirampas kereta Perodua Myvi yang digunakan suspek, serangkai anak kunci kereta, senaskah fail yang mengandungi sijil dan wang tunai RM700.
"Kedua-dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1957, Seksyen 3(2) dan Seksyen 3(3) Akta Kutipan Rumah Ke Rumah Dan Jalanan 1947," katanya.
Foto kedua-dua lelaki itu yang dikatakan turut melakukan kegiatan pukau, mula menjadi viral di laman sosial baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk sekitar daerah ini.- BERNAMA