Kuantan, 19 Ogos - Polis berjaya menahan empat sahabat yang aktif dalam jenayah curi motosikal di bandar ini menerusi beberapa tangkapan yang dilakukan sejak Isnin lepas.
Turut ditemui sebuah motosikal, satu kerangka motosikal serta bahagian kenderaan itu yang telah dileraikan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata, tangkapan pertama dibuat ke atas seorang pelajar kolej swasta di asrama kolej berkenaan di Indera Mahkota 3, pada pukul 7 petang Isnin lepas.
"Soal siasat mendapati suspek melakukan jenayah itu bersama rakannya di hadapan asrama kolej tersebut sebelum menjualnya kepada seorang lagi rakan mereka.
"Berikutan itu, polis menahan suspek kedua berusia 24 tahun pada pukul 8 malam hari yang sama di sebuah rumah di Kampung Permatang Badak.
"Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis turut menemui kerangka sebuah motosikal jenis Honda EX5 dengan nombor pendaftaran palsu," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, bahagian motosikal itu juga telah dilerai dan disembunyikan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
Abdul Aziz berkata, susulan itu polis kemudiannya membuat intipan dan pemantauan sebelum berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 19 tahun, dua jam kemudiannya.
"Suspek terbabit mengaku menyembunyikan satu lagi motosikal di belakang sebuah bangsal di Kampung Padang dekat sini.
Katanya, remaja berkenaan turut mendedahkan kumpulan itu mempunyai seorang lagi anggota dan berikutan itu, suspek keempat berusia 21 tahun berjaya ditahan pada pukul 6.30 petang semalam (Selasa) di sebuah kedai di Taman Impian," katanya.
Katanya, kesemua suspek dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. -BERNAMA