Menu

KENYATAAN MEDIA : ISU PERTUKARAN P/CP DATO' ABDUL HAMID BIN BADOR KE JABATAN PERDANA MENTERI , PUTRAJAYA.

 

Saya ingin merujuk kepada berita Malay Mail Online bertajuk "Senior Special Branch Officer Gets Sudden Transfer to PM's Dept, Told To Go On Long Leave" yang mana telah dikongsi oleh lain-lain media sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan persepsi yang terpesong dan songsang.
Berikut adalah pencerahan kepada laporan tidak tepat yang dibuat oleh beberapa media online, khususnya Malaysia Today, The Malaysian Insider, Malaysia Gazette, Free Malaysia Today, dan Malaysiakini:-

a) P/CP Dato' Abdul Hamid bin Bador tidak pernah diarah untuk pergi bercuti. Percutiaan beliau adalah atas permohonan beliau sendiri untuk tujuan berehat;
b) P/CP Dato' Abdul Hamid bin Bador sedia maklum tentang pertukaran tersebut yang ditawarkan selepas beliau menarik balik hasrat beliau untuk bersara awal;
c) Pertukaran P/CP Dato' Abdul Hamid bin Bador sebagai Timbalan Pengarah Isu-isu Keselamatan danTransnasional (SIS) adalah sebagai satu pengiktirafan atas kemampuan dan pengalaman beliau dalam menangani isu-isu keselamatan;
d) Pertukaran P/CP Dato' Abdul Hamid bin Bador keluar dari PDRM bukanlah sesuatu yang "out of the ordinary". Sebelum ini, Tan Sri Bakri Omar, Tan Sri Zaman Khan, Dato' Sri Zulkifli MD Noor dan saya sendiri pernah ditempatkan di beberapa agensi kerajaan bagi tujuan memenuhi tuntutan dan keperluan semasa;
e) Majlis serah terima tugas yang dibuat secara tertutup dengan kiasan ianya adalah atas sebab-sebab tertentu, merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Majlis sebegini bukanlah satu perkara yang luar dari kebiasaan dan amalan dalam PDRM, lebih -lebih lagi bagi Cawangan Khas yang tidak pernah mencari publisiti; dan
f) Dakwaan bahawa Cawangan Khas sedang melalui proses "pembersihan" bagi menggantikan pucuk pimpinan tertingginya dengan pengarah dan timbalan pengarah yang baru adalah fitnah semata-mata.

Dato' Seri Mohamad Fuzi Bin Harun sendiri merupakan bekas pegawai Cawangan Khas yang amat berpengalaman dan dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat yang bersara selepas beberapa kali melanjutkan tempoh kontrak perkhidmatannya.

Saya ingin menasihati pihak media agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan kerana laporan yang tidak tepat akan mengundang pelbagai bentuk implikasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. Lebih bahaya lagi, apabila berita tersebut dibuat mengikut kefahaman atau interpretasi penulis itu sendiri, yang mungkin kurang faham dengan implikasi yang bakal timbul akibat bermain dengan ayat untuk menyedapkan penulisan.

( Tan Sri Dato' Sri Khalid Bin Abu Bakar ) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia
 


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS