Menu

234 PESARA POLIS ZAMAN DARURAT TERIMA PINGAT JASA PAHLAWAN NEGARA

Kuantan, 27 Ogos - Sebanyak 234 pesara polis yang pernah berkhidmat pada zaman darurat dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN), Kontijen Pahang dalam istiadat pengurniaan pingat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Majlis penganugerahan pingat tersebut disempunakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani.

Seorang daripada penerima Abd Rani Long, 88, dari Kampung Telang, Kuala Lipis berkata pengalamannya bertempur dengan anggota komunis semasa zaman darurat sehingga nyaris mengorbankan nyawanya, masih kekal tersemat dalam ingatan.

"Semasa itu pakcik jadi 'homeguard', kami dapat maklumat komunis telah masuk ke perkampungan Orang Asli di Ulu Jelai, Jerantut untuk mendapat bekalan makanan.

"Sebaik terima maklumat tersebut, pakcik telah diarahkan ke sana untuk menahan pihak musuh dan sampai sahaja di kampung itu, kami disambut dengan hujan peluru menyebabkan kami terpaksa berlindung di sebalik semak untuk menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, setelah bertempur beberapa ketika, pakcik berjaya menembak mati dua anggota komunis yang ketika itu berlindung di atas para sebuah rumah Orang Asli, " kata bapa kepada sembilan orang anak dan datuk kepada 30 cucu itu.

Walaupun, pertuturannya sudah kurang jelas, namun Abd Rani masih bersemangat apabila bercerita tentang kisah silamnya itu dan berharap generasi pada masa kini menghargai keamanan dan kemerdekaan yang dikecapi negara.

"Bukan senang kehidupan apabila negara dalam keadaan huru hara, kita patut syukur kini tidak perlu lagi angkat senjata. Sepatutnya, semua rakyat khususnya orang Melayu bersatu padu dan jangan berpecah walaupun beza pegangan politik," katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS