Menu

GENG AGILA KOSMETIK TUMPAS, 11 KES CURI PRODUK KOSMETIK SELESAI

Sepang - 27 Ogos - Polis menumpaskan kegiatan Geng Agila Kosmetik yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 11 kes kecurian barangan kosmetik di pusat beli-belah ekoran penahanan tiga penari kebudayaan di Bandar Sungai Long, Kajang pada 18 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali dalam sidang media di sini hari ini berkata polis bertindak memburu suspek - seorang lelaki dan dua wanita - setelah sebuah farmasi di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya membuat laporan polis berhubung kecurian barangan kosmetik di premis berkenaan.

Berdasarkan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai tersebut, membawa polis ke kawasan Kondominium Forest Green di Bandar Sungai Long untuk melakukan serbuan terhadap ketiga-tiga suspek yang ketika itu berada di dalam kenderaan Perodua Viva dan Perodua Myvi. Mereka ditahan antara 10.30 malam dan 11.30 malam.

Abdul Aziz berkata selain dua kenderaan, turut dirampas ialah pelbagai produk kosmetik antaranya 90 batang gincu jenama SimplySiti; 36 kotak 'blusher', 16 batang 'eye liner' pelbagai jenama dan krim 'lip stain' jenama Sephora.

Beliau berkata semakan mendapati suspek lelaki tiada rekod jenayah manakala dua wanita tersebut memiliki lima rekod jenayah dan pernah ditahan, kesemuanya membabitkan kes kecurian barangan kosmetik.

Selain Sepang, kumpulan yang bergerak aktif sejak enam bulan lepas itu turut menjadikan pusat beli-belah di Banting, Klang, Brickfields dan Selayang sebagai lokasi tumpuan dan dipercayai mencuri pelbagai produk kosmetik bernilai RM25,000.

"Selain untuk dijual, mereka yang merupakan penari budaya juga mencuri barangan tersebut untuk kegunaan sendiri," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata polis kini memburu seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Tinyu, 35, bagi membantu siasatan satu kes bunuh di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil pada 27 Jun lepas.

Beliau berkata suspek bertindak melarikan diri selepas menikam dan hingga menyebabkan kematian rakannya itu dalam pertengkaran dipercayai berpunca daripada masalah pembayaran gaji.

Katanya, foto suspek telah diedarkan dan orang ramai diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz di talian 017-6556 575 atau IPD Sepang di 03-8777 4222 jika mempunyai sebarang maklumat. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS