Menu

PEMANDU LORI DIDENDA RM1,200 KERANA CEDERAKAN IBU TEMAN WANITA


Kuala Lumpur, 27 Ogos - Gara-gara mencederakan ibu teman wanitanya tahun lepas, seorang pemandu lori didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Zuraini Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Kunaseilan, 22, selepas dia mengaku bersalah mencederakan suri rumah G. Shanmugavally, 42.

Kunaseilan didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Intan Baiduri, Kepong, di sini pada 7.30 malam, 26 Okt 2014 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama teman wanitanya (anak mangsa) dan lima lelaki telah pergi ke rumah Shanmugavally dan menyuruhnya membuka pintu rumah tetapi mangsa enggan.

Tertuduh kemudian membuka pintu rumah dengan menggunakan kunci lain lalu menolak wanita itu sehingga terjatuh dan memukulnya di kepala dan tangan sebelum melarikan diri bersama teman wanitanya itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asp Nom Phot Prackdit manakala peguam R. Murugan mewakili tertuduh. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS