Menu

GENG PAPO TUMPAS, 10 KES SAMUN DI KULIM SELESAI

Kulim, 10 Sept - Kumpulan samun bersenjata yang dikenali sebagai 'Geng Papo' tumpas dengan tertangkapnya enam anggotanya yang sekali gus menyelesaikan 10 kes samun sepanjang minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad berkata ketua geng tersebut iaitu remaja berusia 18 tahun ditangkap di Butterworth pada 1 Sept lepas manakala lima anggotanya ditahan pada 28 dan 29 Ogos lalu di Kulim dan Padang Serai.

Ketua kumpulan tersebut dikatakan merupakan orang kanan kepada ketua 'Geng Petak' yang telah tumpas dan sebahagian besar anggotanya telah didakwa dan dijatuhi hukuman.

Beliau berkata modus operandi Geng Papo ialah menyamun pekerja kilang yang tinggal di asrama di sekitar sini serta pekerja binaan asing di rumah kongsi dengan pisau serta memaksa mereka menyerahkan wang tunai, barang kemas serta telefon bimbit.

"Kumpulan ini lebih menumpukan aktiviti jenayah secara kecil-kecilan," katanya dalam sidang media hari ini.

Kesemua mereka kini ditahan reman selama seminggu dengan kes disiasat atas kesalahan samun berkumpulan bersenjata.

Dalam kes berasingan, Abdullah berkata pihak polis menahan seorang suspek yang dipercayai bersama tiga rakan yang lain merompak satu keluarga di sebuah rumah di Taman Mahsuri, Padang Serai pada tahun 2014.

Keluarga tersebut dilapor mengalami kerugian bernilai kira-kira RM17,000 termasuk barang kemas, telefon bimbit serta beberapa keping cek.

"Cek-cek yang didapati hilang dalam kes samun tersebut telah ditemukan semula dan kini polis sedang meneruskan siasatan untuk mengesan tiga lagi suspek," katanya. -BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS