Kuala Lumpur, 11 Sept- Polis Kuala Lumpur berjaya mengurangkan hampir separuh kadar jenayah samun berkawan tanpa senjata api iaitu sebanyak 45.8 peratus atau berkurang 1,203 kes sejak awal tahun sehingga Ogos berbanding tempoh sama tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Dato' Law Hong Soon berkata dalam tempoh sama tahun lepas kes jenayah samun berkawan tanpa senjata api ialah sebanyak 2,624 kes, dan tahun ini menurun kepada 1,421 kes.
"Penurunan ini sekali gus menunjukkan kadar indeks jenayah di Kuala Lumpur telah mencatatkan penurunan sebanyak 22 peratus atau berkurangan 3,229 kes jika dibandingkan dengan tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ketua Polis KL di dataran kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata pada tahun lepas kadar jenayah ialah 14,710 kes, dan tahun ini menurun kepada 11,481 kes.
"Pencapaian kami lapan bulan pertama ini membawa kesan positif dan amat memberangsangkan, dan telah melepasi sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetap iaitu 10 peratus," katanya.
Selain itu, kes jenayah samun berseorangan tanpa senjata api turut mencatat penurunan kepada 450 kes berbanding 651 kes pada tahun lepas, dan jenayah ragut pula menurun sedikit daripada 429 kes kepada 381 kes, kata Law.
"Kejayaan ini dicapai atas kesungguhan dan komitmen seluruh
warga polis serta program jenayah yang berkesan dengan kerjasama penduduk setempat," katanya.
Law berkata pembanterasan terhadap aktiviti pelacuran dan perjudian masih terus ditekankan kerana isu ini masih lagi menjadi kebimbangan masyarakat.
"Polis akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain bagi mengadakan operasi bersepadu untuk menbanteras jenayah-jenayah ini," katanya.
Beliau berkata tindakan yang diambil bukan sahaja untuk menurunkan kadar jenayah tetapi juga mengurangkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah yang mendatangkan trauma.- BERNAMA