Menu

STAFOC DIPUJI CEKAP SELESAI KES DALAM MASA SINGKAT

Subang Jaya: Kerjasama erat dan perkongsian maklumat di antara semua elemen operasi dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada peringkat Bukit Aman, Kontinjen dan Daerah, membolehkan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais, diselesaikan dalam masa singkat.

Malah, komitmen setiap bahagian yang memandang serius setiap maklumat yang diterima dan dikumpul, menyumbang kepada kejayaan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) bertindak memberkas semua suspek dan dalang pembunuhan mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, melahirkan rasa bangga terhadap tindakan pantas anak buahnya yang berusaha gigih memastikan risikan dan operasi berjalan lancar sehingga tertangkapnya suspek, sekali gus membawa kepada penemuan mayat Morais.

"Sejujurnya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua pegawai dan anggota JSJ yang terbabit dalam kes ini daripada mula mangsa dilaporkan hilang sehingga mayatnya ditemui di Subang Jaya, hari ini (semalam).

"Secara keseluruhan, usaha ini adalah kejayaan secara berkumpulan hasil kerjasama kolektif dan tindakan profesional yang bijak dalam memahami pergerakan suspek atau penjenayah yang terbabit," katanya ketika dihubungi BH semalam.

Sumber: Berita Harian


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS