Menu

KENYATAAN MEDIA KPN: KENYATAAN MEDIA YB DATO' MAHFUZ OMAR

 
Kenyataan Media Yb Dato’ Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena pada 20 september 2015 atas tajuk “mengutuk tindakan Perdana Menteri Najib mempergunakan pasukan polis untuk menangkap Datuk Khairuddin Abu Hassan” dirujuk.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang berat dakwaan yang dilemparkan oleh Yb Dato’ Mahfuz Omar, kononnya pdrm telah dipergunakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak bagi menutup mulut sesiapa sahaja yang cuba untuk membongkar penyelewengan yang berlaku di dalam kes 1mdb, yang turut berkait dengan penyaluran wang sebanyak rm2.6 bilion ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Yb Dato’ Mahfuz Omar sedia maklum bahawa siasatan ke atas 1MDB ini dijalankan bukan sahaja oleh PDRM, tetapi juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga Jabatan Peguam Negara. Yb Dato’ Mahfuz Omar juga maklum bahawa proses siasatan belum selesai dan semua agensi terbabit masih memikul amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Umum sedia maklum bahawa Datuk Khairuddin Abu Hassan, Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, telah pun membuat laporan polis berhubung perkara ini. Beliau seharusnya memberi ruang dan peluang kepada agensi-agensi penguatkuasa tempatan untuk menjalankan siasatan. Namun, beliau tetap memilih untuk menggunakan saluran perundangan asing khususnya Britain, Hong Kong, Perancis Dan Amerika Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa ke atas malaysia. Ini jelas merupakan satu tindakan yang bertujuan mencabar sistem perundangan Malaysia, mencalar kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara ini. Tindakan beliau ini merupakan satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara ini.

(Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia
 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS