Kuantan, 12 Okt - Seramai 173 orang termasuk seorang wanita yang terlibat dengan kegiatan dan pengedaran dadah ditahan dalam Op Sarang yang dilaksanakan di sekitar daerah ini sejak semalam sehingga tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata, Op Sarang yang dilaksanakan selama tiga hari dan berakhir esok itu melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Jabatan Imigresen.
"Kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 30-an dan 40-an atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah termasuk 11 kes mengedar dadah dengan 13 tangkapan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, daripada 13 tangkapan itu lima ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, empat tangkapan mengikut Seksyen 39A(2) ADB dan empat tangkapan Seksyen 39A(1) ADB.
Manakala 160 lagi ditahan kerana kesalahan memiliki dadah dan positif ujian air kencing.
Hasil operasi itu, polis merampas sebanyak 112 biji pil kuda jenis ‘yaba’, 167 gram heroin dan lima gram ganja selain wang tunai RM2,000.
Dalam kes berasingan di Maran, polis turut menahan tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah bersama 10 paket heroin seberat 4.54 kilogram dianggarkan bernilai RM150,000 dalam serbuan di deretan kedai sekitar bandar Maran pada 7.30 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Supt Amran Ramli berkata, kesemua dadah berkenaan dipercayai untuk diedar sekitar daerah Maran, Temerloh dan Jerantut.
"Hasil serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta yang digunakan oleh ketiga-tiga suspek yang berumur 29 hingga 47 tahun ," katanya.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B ADB dan kesemua lelaki itu ditahan reman bermula 9 Oktober sehingga 15 Oktober.
- BERNAMA