Kuala Lumpur, 14 Okt - Dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand, berusia lingkungan 30-an dan 40-an, yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan samun ditahan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Zaini Che Din berkata dalam serbuan pukul 2 pagi, seorang lelaki ditahan ketika keluar dari kenderaan jenis Naza Citra di Home Stay Damai Residence, Jalan Damai di sini.
"Hasil semakan mendapati nombor casis kenderaan terbabit mendapati ia dilaporkan hilang di Selayang pada September lepas. Pemeriksaan di dalam kereta juga menjumpai peralatan pecah rumah dan beberapa barang disyaki untuk menjalankan aktiviti itu.
"Polis turut menahan seorang wanita warga Thailand di rumah itu. Hasil soal siasat terhadap suspek lelaki, dia diarahkan untuk mengambil seorang wanita warga Thailand di premis berkenaan sebelum melarikan diri ke Thailand," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya suspek lelaki itu mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan kes pecah rumah serta curi dan pernah ditahan di Pusat Pemulihan Simpang Renggam di bawah Undang-Undang Pencegahan.
Susulan itu, polis membuat serbuan di kediaman suspek lelaki itu di Ampang dan merampas dua komputer riba untuk siasatan.
Zaini berkata seorang lagi suspek ditahan oleh orang awam ketika cuba melakukan samun di Jalan Ipoh, Sentul pukul 5 pagi tadi sebelum diserahkan kepada polis.
"Turut dirampas kereta Nissan Sentra yang disyaki terlibat dengan kejadian itu. Kereta Nissan Sentra tersebut juga dilaporkan dicuri di Jitra, Kedah," katanya sambil mengulas suspek itu cedera dibelasah orang awam dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki yang melarikan diri.
Terdahulu, ketika cuba menahan tiga suspek lelaki berkenaan di tempat parkir kereta di Flora Damansara, Bukit Lanjan, Petaling Jaya, seorang anggota polis mengalami kecederaan di siku kiri dan lutut kiri setelah mengelak daripada cuba dirempuh kenderaan dipandu oleh salah seorang suspek itu dalam serbuan pukul 7.05 malam tadi.
Katanya dalam kejadian itu, anggota polis itu telah mengarahkan suspek yang memandu kereta jenis Nissan Sentra supaya memberhentikan kereta itu namun suspek bertindak cuba melanggar anggota polis.
"Menyedari dalam keadaan terancam dan bagi mempertahankan diri, polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan kiri kereta," katanya sambil menambah ketiga-tiga suspek berjaya melarikan diri dengan kenderaan itu dan turut melanggar kenderaan lain di tempat parkir. - BERNAMA