Menu

KEHIDUPAN MEWAH PASANGAN SUAMI ISTERI TERBONGKAR

Kuantan, 15 Okt - Rahsia sepasang suami isteri yang hidup mewah sejak setahun lalu akhirnya terbongkar apabila mereka didapati terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah setelah ditahan dalam serbuan berasingan di tepi Jalan Kemunting dan di sebuah rumah di perkampungan Pandan Jaya Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Amran Ramli berkata, tangkapan pertama ke atas suspek lelaki dilakukan di tepi jalan berhampiran Majlis Perbandaran Kuantan di Jalan Kemunting dekat sini pada 1.40 tengah hari Selasa lepas.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek yang berusia 26 tahun cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan lanjut polis menemui 600 biji pil kuda dan 52.75 gram syabu di dalam beg sandang suspek yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu polis telah menyerbu rumah suspek di perkampungan Pandan Jaya dekat sini sejam kemudian dan menahan isteri suspek berusia 29 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu, polis menemui 121 gram syabu, wang tunai RM1,000 selain turut merampas sejumlah barang kemas bernilai RM75,021, dan tujuh kenderaan.

Tujuh kenderaan yang dimiliki oleh pasangan itu ialah Honda Civic, Mini Cooper, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, Perodua Myvi, dan tiga motosikal dan nilai kesemua rampasan dianggar sebanyak RM400,000.

Amran berkata, siasatan awal mendapati pasangan itu aktif dalam aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran daerah Kuantan sejak awal tahun ini, namun mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Mereka kini ditahan reman selama seminggu di lokap IPD Kuantan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS