Menu

POLIS TAHAN 15 LELAKI TERLIBAT JUDI DI KUANTAN DAN GENTING HIGHLANDS

Kuantan, 18 Okt - Polis menahan 15 lelaki termasuk tiga penjaga premis perjudian komputer riba dalam tiga serbuan berasingan di Kuantan dan Genting Highlands awal pagi tadi dan Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Pangsapuri Kayangan dekat Genting Highlands pada pukul 1 pagi tadi, seramai lima lelaki termasuk seorang penjaga premis berjaya ditahan.

"Semasa serbuan kesemua lelaki berusia 25 hingga 38 tahun itu sedang leka bermain judi Internet menggunakan komputer riba secara haram.

"Polis juga merampas empat unit komputer riba, dua buah meja, satu unit wireless modem, telefon bimbit, buku catatan perniagaan, kunci premis dan wang tunai RM258," katanya.

Dalam serbuan pukul 11.30 malam itu katanya polis turut merampas tujuh unit komputer riba, dua unit 'wireless usb port', sebuah buku catatan berniaga, kunci
rumah dan bilik pangsapuri tersebut serta wang tunai berjumlah RM2,114.

Datuk Raja Shahrom berkata, serbuan berasingan telah dilakukan di sebuah premis di Jalan Darat Makmar, di sini pada pukul 11.15 malam Jumaat lepas.

"Empat lelaki termasuk penjaga premis berusia 25 hingga 35 tahun yang sedang membuat pertaruhan menggunakan mesin simulator berunsurkan
perjudian telah diberkas selain turut merampas wang tunai RM220," katanya.

"Siasatan awal mendapati premis tersebut merupakan sebuah 'Pusat Snooker dan Recreation Centre' berlesen namun dipercayai telah menyalahgunakan lesen dengan
meletakkan mesin simulator itu untuk pertaruhan pengunjung.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengunjungi premis seperti itu dan tidak bermain mesin simulator yang melibatkan pertaruhan wang yang dianggap satu
kegiatan perjudian sebaliknya segera melaporkan kepada polis dan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan pembanterasan," tambah beliau.

Beliau berkata, kesemua kes kini disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 4 (1)(b) Enakmen Hiburan Negeri Pahang.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS