Johor Bharu, 20 Oktober- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berjaya merampas 21,400 paket rokok kontraband pelbagai jenis bernilai RM188,173.44 dalam satu operasi di Pantai Parit Semerah, Pontian awal pagi, tadi.
Komander PPM Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chang berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, pasukannya telah mengintip dan menyerbu sekumpulan individu yang sedang memunggah barang di tepi pantai dalam keadaan mencurigakan.
"Menyedari kehadiran kami (polis) kesemua individu terbabit melarikan diri ke dalam hutan paya bakau berhampiran," katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa guni dan kotak rokok yang diseludup masuk dari negara jiran dengan nilai taksiran keseluruhan rampasan bernilai lebih RM350,000, turut dirampas dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan bot fibre glass.
Kesemua barang rampasan dibawa balik ke markas PPM Tampoi untuk disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.