Menu

POLIS TEMBAK TAYAR KERETA TAHAN DUA SUSPEK KES DADAH

Sandakan, 3 Nov - Polis terpaksa menembak tayar kereta sebelum menahan dua suspek yang cuba melarikan diri ketika ditahan di hadapan sebuah bank di Bandar Kim Fung Batu 4, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Zabidi Mohd Zain berkata, satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar selepas pemandu kereta jenis Proton Saga berwarna hitam itu merempuh beberapa kenderaaan yang diletakkan di kawasan parkir sebelum cuba
melanggar anggota polis.

Katanya, seorang lelaki iaitu pemandu kereta dan seorang wanita yang kedua-duanya dalam lingkungan 20-an berjaya ditahan.

Polis turut menemui satu paket plastik mengandungi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu di dalam kereta itu, katanya di sini.

Zabidi berkata, siasatan mendapati lelaki dan wanita itu pernah ditahan sebelum ini atas kes dadah.

Beliau berkata, ujian awal air kencing lelaki dan wanita itu didapati positif dadah jenis syabu.

Menurut Zabidi, sebelum itu pada kira-kira pukul 12 tengah hari, sepasukan polis cawangan narkotik melakukan risikan dan pencegahan jenayah di Bandar Letat Jaya di Batu 3.

Katanya, ketika hendak memeriksa kereta Proton Saga itu, pemandu kereta berkenaan bertindak memecut untuk melarikan diri sehingga memaksa polis menembak tayar kenderaan itu bagi menghentikannya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS