Menu

POLIS TAHAN DUA LELAKI TERLIBAT KES TEMBAK, RAMPAS PISTOL DAN PELURU

George Town, 11 Nov- Polis percaya dapat menyelesaikan kes seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah selepas ditembak dalam kejadian di Kampung Bukit Merah, Permatang Pauh dekat sini pada 8 Okt lepas selepas menahan tiga individu termasuk seorang wanita baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Dato' Zakaria Ahmad berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu sebuah rumah di Jawi, Nibong Tebal dekat sini pada pukul 2.30 pagi 3 Nov lepas dan menahan sepasang kekasih berusia 26 dan 35 tahun.

"Ekoran penahanan pasangan kekasih itu, polis berjaya merampas sepucuk pistol dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan berkenaan yang disembunyikan dalam sebuah pondok di Bukit Mertajam bagi mengelak dikesan polis," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang itu, mangsa Yap Kang Hee, 27, ditembak ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya dan ekoran itu lelaki yang bekerja di kilang perabot mengalami kecederaan di leher, bahu dan pipi.

Suspek yang menaiki sebuah motosikal dipercayai mengekori mangsa sebelum melepaskan tiga das tembakan menyebabkan motosikal mangsa terbabas serta melanggar tiang sebuah rumah di situ sebelum dia terjatuh, manakala suspek memecut laju meninggalkan lelaki berkenaan.

Zakaria berkata susulan penahanan pasangan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di Jalan Raja Uda, Butterworth dekat sini pada Isnin (9 Nov) dan merampas sepucuk pistol, 14 butir peluru dan sejumlah dadah bersamanya.

Katanya lelaki berusia 30-an itu dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes tembak berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian tembakan itu berlaku kerana lelaki yang berusia 35 tahun berkenaan marahkan mangsa ekoran dia (mangsa) mengetahui suspek utama terbabit telah mengugut serta memukul rakan sekerjanya. Mangsa dikatakan mahu membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, tiga individu yang ditahan dan tidak bekerja itu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar negeri ini.

Dua lelaki yang mempunyai 12 dan satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan itu kini direman sehingga 16 Nov ini bagi membantu siasatan, katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS