Tempoh reman empat sekeluarga yang juga suspek kes pembunuhan empat individu di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Pahang di sini yang berakhir semalam, dilanjutkan seminggu lagi.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurul Nadia Abdul Razak di Mahkamah Majistret Tapah, semalam.
Lanjutan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi melengkapkan siasatan terhadap kes pembunuhan membabitkan seorang jurujual alat ganti kenderaan, Ng Chor Kee, 54, dari Klang, Selangor.
Suspek utama yang juga pemilik bengkel berusia 57 tahun, isterinya, 54, dan dua anak lelaki berusia 17 dan 20 tahun tiba dengan kenderaan polis kira-kira jam 8.15 pagi.
Mereka dilihat memasuki mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi sebelum dibawa keluar 10 minit kemudian untuk dibawa semula ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.
Semua suspek ditahan di bengkel berkenaan pada 26 Oktober lalu dan direman selama 11 hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 6 November lalu bagi membantu siasatan kehilangan seorang broker tanah yang dilaporkan pada 25 Ogos lalu.
Sumber : Berita Harian
