Menu

GENG SHAHRIL PROTON TUMPAS, 28 KES CURI KERETA SELESAI - POLIS

Sepang, 25 Nov- Polis menyelesaikan 28 kes curi kereta yang tertumpu di kawasan pusat beli-belah di empat negeri dengan tertangkapnya tiga anggota 'Geng Shahril Proton' dalam serbuan di Puchong, Selangor dan Lendu, Melaka baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata tiga lelaki berumur antara 28 dan 32 tahun yang aktif melakukan jenayah curi dan pecah cermin kereta sejak Jun lepas, diburu ekoran kes kehilangan kereta jenis Proton Wira di sebuah pusat beli-belah dekat sini, pada 2 Nov lepas.

Susulan kes itu, polis melancarkan siri serbuan ke beberapa rumah serta bengkel kenderaan di sekitar daerah Puchong dan berjaya menahan dua suspek, dengan seorang daripadanya dikenali sebagai 'Shahril' yang dipercayai ketua kumpulan berkenaan.

Penahanan itu membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek di Pekan Lendu, sekali gus merampas enam kenderaan jenis Proton, dua kenderaan tanpa enjin, tiga rangka kenderaan, 10 enjin, dan sebuah motosikal, katanya.

"Turut dirampas lapan alat melupuskan nombor enjin kenderaan, 20 keping kad Touch 'n Go dan empat telefon bimbit pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM100,000," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata selain Sepang, Serdang, Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya di Selangor, kumpulan itu juga aktif melakukan kegiatan curi dan pecah cermin kereta di Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Baharu.

Beliau berkata modus operandi kumpulan itu ialah menjadikan kenderaan yang diparkir di tempat tumpuan ramai terutamanya di pusat beli-belah sebagai sasaran, khasnya kenderaan jenis Proton yang dipercayai lebih mudah untuk dilarikan.

Selain menjual mengikut komponen yang dileraikan, ada juga kereta yang dicuri dijual secara terus setelah nombor pendaftaran enjin dipadamkan, katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS