Menu

DALANG PROSES CECAIR VAPE CAMPUR GANJA DITAHAN


Kuala Lumpur - Sepasang suami isteri bersama lima rakan mereka, yang mendalangi kegiatan memproses dan mengedar cecair vape, biskut dan kek dicampur ganja, ditahan polis dalam serbuan di Banting dan Ampang, kelmarin.

Kegiatan haram itu dibongkar Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Bukit Aman selepas menahan sepasang suami isteri di Banting, pada jam 6 petang.

Pasangan suami isteri terbabit dipercayai menjual produk bercampur ganja yang dihasilkan mereka secara atas talian, khususnya dalam kalangan penggemar rokok elektronik dan penagih dadah.

Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 214 botol yang setiap satu mengandungi kira-kira 30 mililiter (ml) cecair vape mengandungi ganja. Selain cecair vape, polis merampas sejumlah biskut dan kek dicampur ganja, yang belum diserahkan kepada pelanggan mereka.

Soal siasat terhadap pasangan itu, membawa polis ke lokasi serbuan kedua iaitu sebuah kondominium di Ampang.

Dalam serbuan terhadap kondominium terbabit, polis menahan lima suspek, termasuk dua pasangan kekasih yang disyaki turut menjadi pengedar produk bercampur ganja dihasilkan pasangan suami isteri yang ditahan di Banting.

Semua suspek yang ditahan dalam kedua-dua serbuan terbabit berusia antara 20 hingga 30-an.

Sumber: Berita Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS