Kota Kinabalu, 10 Dis- Polis Kota Kinabalu berjaya menahan enam lelaki dipercayai anggota sindiket kumpulan 'Louis Darau' yang terlibat dalam lapan kes pecah rumah dan kereta di sekitar Kota Kinabalu, Tenom dan Ranau, sejak Jun tahun lepas.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata suspek pertama ditahan pada 3 Dis lalu kira-kira 4.30 pagi ketika sedang memunggah barang bersama-sama tiga individu dari sebuah rumah di Taman Canggih, Inanam.
"Namun, tiga rakannya berjaya melarikan diri ketika serbuan dijalankan. Polis telah melancarkan operasi untuk mengesan suspek yang melarikan diri," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Karamunsing di sini hari ini.
Chandra berkata susulan penahanan itu, lima lagi suspek ditahan di sekitar Kota Kinabalu pada termasuk suspek yang melarikan diri daripada serbuan polis di Taman Canggih, Inanam, pada 3 Dis lepas.
Katanya, kesemua suspek berumur antara 19 dan 29 tahun itu dipercayai sebahagian daripada 12 individu kumpulan penjenayah yang dikehendaki polis.
Berikutan penahanan itu, polis berjaya merampas empat kereta iaitu sebuah Mercedes, Toyota Altis, Honda Civic dan Perodua Kenari, empat televisyen serta telefon bimbit, kamera, sebuah motosikal Yamaha dan komputer riba.
Katanya, polis juga telah mengenal pasti enam lagi anggota kumpulan berkenaan dan sedang menjejaki mereka.
Sementara itu, Chandra meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai seorang suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pelanggaran bot penumpang pada 1 Dis lalu di kawasan perairan Kota Kinabalu sehingga menyebabkan kematian seorang penumpang bot.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, sebuah bot yang membawa 12 penumpang dari Kota Kinabalu ke Jeti Lok Baru, Pulau Gaya dilanggar sebuah bot lain dipercayai dipandu oleh suspek menyebabkan empat penumpang cedera dan seorang maut.- BERNAMA