Menu

TIGA MAUT, DUA CEDERA DALAM NAHAS DI BACHOK

Bachok, 30 Dis- Dua remaja dan seorang kanak-kanak terbunuh manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Tok Burung di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Abdul Hamid Che Ahmad berkata mangsa yang terbunuh ialah penunggang motosikal Mohd Syahir Rajani, 14, dan pemboncengnya Ahmad Isyraf Hazim Ismail, 5, serta penunggang sebuah lagi motosikal Nik Hanzallah Nik Hassan, 19.

Dua mangsa yang parah ialah Syahwi Zarfan Sairi, 7, yang membonceng motosikal yang ditunggang Mohd Syahir manakala seorang lagi Lukman Hakim Abu Manaf, 18, yang menaiki motosikal yang ditunggang oleh Nik Hanzallah.

Abdul Hamid berkata dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, motosikal yang ditunggang oleh Nik Hanzallah dari Perupok di sini dan menghala ke Bachok bertembung dengan motosikal yang ditunggang Mohd Syahir yang datang dari arah bertentangan.

Katanya kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan.

Bapa kepada Ahmad Isyraf Hazim, Ismail Yusof, 45, berkata ketika kejadian anaknya dan dua orang sepupunya iaitu Mohd Syahir dan Syahwi Zarfan sedang bersiar-siar di kampung berkenaan dengan menaiki motosikal.

Ismail yang juga pensyarah sebuah kolej komuniti di Tawau, Sabah berkata keluarganya pulang ke kampung sempena cuti persekolahan dan sepatutnya pulang ke Tawau hari ini.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS