Menu

ANGGOTA TENTERA ANTARA TIGA DITAHAN KES ROMPAK DI KULIM

Kulim, 14 Jan- Seorang anggota tentera dan sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki merompak wang tunai berjumlah RM57,000 milik penyelia pekerja bangunan warga Myanmar di Jalan Kulim-Baling di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad berkata suami isteri itu ditahan di sebuah rumah di Sungai Kob manakala anggota tentera terbabit yang bertugas di Kuala Lumpur ditahan di sekitar kawasan itu kira-kira pukul 3 petang Rabu lepas.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu, penyelia berumur 30-an yang menunggang motosikal sedang dalam perjalan pulang ke rumahnya di Alma, Bukit Mertajam setelah menjelaskan bayaran gaji para pekerjanya di Taman Desa Aman, Padang Serai.

"Mangsa membawa sebahagian wang gaji pekerja berjumlah RM30,000 yang diamanahkan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pekerja terbabit untuk keluarga mereka di Myanmar manakala baki RM27,000 adalah milik mangsa.

"Mangsa kemudian dirompak dua suspek bersenjatakan sebilah parang, cota rotan dan pisau berdekatan Kilang Inokom, Padang Meha dekat sini," katanya dan menambah polis menjalankan Op Cantas Khas susulan kejadian itu.

Ekoran penahanan tiga suspek berkenaan, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic, sebilah parang panjang berukuran 0.8 meter, sebatang cota rotan berukuran satu meter panjang, tiga buah telefon bimbit, sebuah tablet, sebuah motosikal Yamaha 125Z, sehelai jaket dan beg silang.

Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan yang dipercayai sebagai perancang utama kejadian yang menghilangkan diri untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS