Menu

DUA PELAJAR SEKOLAH MAUT, SEORANG PENJAJA CEDERA DALAM KEMALANGAN DI KAJANG

Kuala Lumpur, 14 Jan- Dua pelajar perempuan maut manakala seorang penjaja cedera dirempuh sebuah van yang dilanggar sebuah lori di hadapan sebuah sekolah di Bandar Damai Perdana, Kajang tengah hari tadi.

Dua pelajar yang maut itu dikenali sebagai Lau Zi Xin dan Wong Siow Xuen, masing-masing berumur 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Willey Richard berkata dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah hari, lori tanpa pemandu itu menggelongsor menuruni bukit selepas lima minit diletakkan di kawasan itu.

Pemandunya difahamkan meninggalkan lori tersebut untuk makan tengah hari di kawasan berdekatan.

"Selain melanggar van tanpa pemandu yang diletakkan di bahu jalan, lori terbabit turut melanggar dua buah kereta serta 34 buah motosikal yang berada di hadapan sekolah itu.

"Kedua-dua mangsa yang tersepit di bawah van berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Kajang serta Jabatan Pertahanan Awam dan disahkan maut di tempat kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi
kejadian.

Willey berkata pemandu lori warga Indonesia itu kemudian ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan.

Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat manakala penjaja wanita yang cedera dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menerima rawatan.

Sementara itu, keluarga mangsa yang maut ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang enggan memberikan sebarang kenyataan dan akan menuntut mayat mangsa pagi esok.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS