Oleh : Kpl Edwind Indo
Penyunting : PF Siti Fatimah Abd Manan
Bukit Aman, 19 Jan – Tiada kebenaran aktiviti ‘marshall’ oleh orang awam yang membuat iringan haram sesuatu konvoi atau eskot kenderaan tegas Ketua Trafik Pasukan, Mahamad Akhir Darus dalam sesi sidang media di Menara 1, di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan mengatur, mengawal dan melencongkan lalulintas di sepanjang pergerakan konvoi tersebut adalah menyalahi Seksyen 21(1) Akta Polis 1967 dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 94 Akta Polis 1967 iaitu denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Dalam isu sama, beliau turut menjelaskan mengenai isu iringan bermotosikal oleh lain-lain agensi yang melakukan aktiviti sama adalah bertentangan dengan undang-undang.
“Mereka perlu menjawab di mahkamah jika berlaku sebarang kemalangan kelak dan kerajaan tidak akan bertanggungjawab ke atas tuntutan sivil oleh mana-mana orang awam akibat perbuatan iringan tersebut”, ujar beliau.
Dalam isu berlainan, beliau turut mengulas sikap pengguna jalan raya yang membimbangkan apabila cenderuang menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan ketika keadaan jalan yang sesak.
Tindakan ini memberi halangan kepada ‘responce team’ seperti ambulans, bomba, polis dan lain-lain agensi berkaitan untuk sampai ke tempat kejadian dengan segera apabila berlaku kecemasan atau kemalangan jalan raya’
‘Selain itu turut ia mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain apabila mereka yang menggunakan lorong kecemasan akan memasuki lorong yang sebenar secara mengejut sehingga menyebabkan pengguna yang lain hilang kawalan. Sikap mementing diri ini merupakan satu kesalahan trafik di bawah Peraturan 53A LN 166/59’, jelas beliau tadi.
Mengulas laporan analisa statistik kes kemalangan bagi tahun 2014/2015, kes kemalangan menunjukkan peningkatan sebanyak 13, 410 kes di mana pada tahun 2015, 489, 606 kes dicatatkan berbanding tahun sebelumnya, 476, 196 kes iaitu peningkatan sebanyak 2.8%.
Bagi laporan analisa mangsa dalam kes kemalangan yang mati, parah dan cedera ringan bagi tahun 2014/2015 pula menunjukkan penurunan sebanyak 1, 446 kes iaitu 19, 704 kes (2014) ke 18, 258 kes (2015) iaitu penurunan -7.3%.
Beliau berkata, faktor terbabas sendiri merupakan punca kemalangan maut yang tertinggi sepanjang tahun 2015 iaitu 1, 713 kes (28%) diikuti 764 kes (14%) makan jalan dan 689 kes (11%) cuba memotong kenderaan di hadapan.
“Sikap pengguna jalan raya merupakan faktor yang sukar dikekang berbanding dengan faktor lain. Kami berharap agar pengguna jalan raya perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab dan mendidik diri masing-masing mengenai kesedaran pentingnya mematuhi peraturan jalan raya”, ujar Ketua Trafik Pasukan menutup sidang akhbar hari ini.

Ketua Trafik Pasukan, Mahamad Akhir Darus menunjukkan statistik kemalangan jalan raya bagi tahun 2014/2015