Kuala Terengganu, 20 Jan - Polis Terengganu menyasarkan sebanyak 10 Persatuan Kepolisan Komuniti (PKK) bakal ditubuhkan di seluruh negeri sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Rosli Ab Rahman PKK diwujudkan sebagai usaha mengekang kegiatan jenayah termasuk aktiviti pengedaran dadah dan mat rempit.
Katanya, setakat ini sebanyak dua PKK ditubuhkan di negeri ini melibatkan Kampung Seberang Takir dan Durian Burung.
"Menerusi dua PKK itu, kita dapati ia menunjukkan keberkesan (jenayah dikurangkan). Sebelum ini kawasan Durian Burung sering menjadi tumpuan mat rempit untuk melakukan aksi berbahaya khususnya pada malam minggu," katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, kampung berkenaan menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan seperti melakukan kawalan serta rondaan bagi memastikan mat rempit tidak terus tertumpu di situ.
Justeru, pihaknya akan terus memperluaskan peranan dan fungsi PKK di setiap kampung bagi memastikan kadar jenayah di negeri ini dapat dikurangkan.
Rosli berkata, selain penglibatan sumber luar seperti PKK, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kelab Rukun Tetangga (KRT), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda akan ditingkatkan pengawasan mereka bagi tujuan mengurangkan jenayah.
"Sepanjang tahun lalu, Indeks Jenayah membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda polis kontinjen Terengganu, menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus, berbanding 11 peratus pada 2014," katanya.
Dalam perkembangan lain Rosli berkata pihaknya akan memperluaskan Program 1 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) 1 Polis, di seluruh Terengganu tidak lama lagi.
"Inisiatif ini untuk memastikan jenayah di Terengganu terus dikurangkan dengan kita melipatgandakan usaha bagi merealisasikan sasaran berkenaan," katanya.
- BERNAMA