Shah Alam, 20 Jan - Bayaran sewa tinggi kepada pemilik premis oleh pihak sindiket menyebabkan kegiatan rumah judi dan perjudian haram masih berleluasa di Selangor, kata Ketua Polis Selangor, Dato' Abdul Samah Mat.
Beliau berkata, risikan pihaknya mendapati keberanian pemilik premis mengambil risiko demi bayaran sewaan tinggi itu menyukarkan lagi polis membendung kegiatan perjudian haram daripada terus berleluasa.
Katanya, undang-undang sedia ada yang lapuk dalam mengekang kegiatan itu juga antara faktor pihak berkuasa termasuk polis sukar menjalankan penguatkuasaan secara lebih agresif dan efektif.
"Walaupun kita sentiasa lancarkan pelbagai operasi membanteras kegiatan perjudian serta judi dalam talian haram ini setiap masa, namun mereka masih jalankan kembali aktiviti itu selepas diserbu.
"Kita lihat undang-undang sedia ada sudah lapuk dalam menangani perkembangan aktiviti perjudian masa kini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Selangor, di sini hari ini.
Kata beliau, undang-undang sedia ada dilihat tidak lagi sesuai untuk diguna pakai dalam usaha mengekang aktiviti perjudian yang semakin maju pada zaman ini.
Mengambil contoh Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Abdul Samah berkata hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang itu dilihat tidak terlalu berat malah banyak kelemahan dalam proses pembuktian kesalahan.
Katanya lagi, ada antara hukuman atau penalti akta tertentu yang dikenakan terhadap sindiket mampu dilunaskan menyebabkan mereka kembali beroperasi seperti biasa.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan meneliti semula akta-akta serta hukuman berkaitan perjudian supaya ia ditambah baik untuk menunjukkan keseriusan kesalahan tersebut seterusnya mengekang aktiviti haram itu daripada terus berkembang.
Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Samah berkata menerusi Ops Dadu sepanjang tahun lepas, Polis Selangor telah menjalankan 9,512 serbuan dengan 6,152 daripadanya merupakan operasi mematahkan kegiatan perjudian berkomputer haram di seluruh negeri ini.
Beliau berkata daripada hasil serbuan pada tahun lepas, sebanyak 6,467 penjaga pusat perjudian dan 2,577 pemain judi ditahan semasa serbuan dijalankan melibatkan rampasan wang tunai sebanyak RM591,755.
"Tahun lepas merekodkan rampasan tunai paling ketara berbanding tahun 2014 yang mencatatkan RM330,412. Ia meningkat lebih 79 peratus atau RM261,343," katanya.
- BERNAMA