Menu

PDRM, ATM LAKSANA RONDAAN KESELAMATAN 24 JAM DI LOKASI STRATEGIK


Kuala Lumpur, 20 Jan - Rondaan kawalan keselamatan bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bermula hari ini, akan dilaksanakan 24 jam di tempat tumpuan ramai sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika mengesahkan perkara itu, berkata beberapa tempat strategik di sekitar ibu kota dan Selangor telah dikenal pasti untuk tujuan rondaan itu.

Kedua-dua mereka, bagaimanapun enggan memaklumkan jumlah tepat kawasan dan anggota terlibat, atas faktor keselamatan.

"Kita fokus kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor. Sekiranya terdapat individu mencurigakan, anggota akan bertindak menahan mereka ini," kata Khalid ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Rondaan bersama antara kedua-dua pasukan keselamatan itu, pernah diadakan ketika penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN pada Nov lepas.

Zulkifeli berkata pada masa ini, tiada aset ketenteraan digerakkan, sebaliknya hanya anggota dikerahkan ke lokasi yang telah ditetapkan polis.

"Fokus rondaan di kawasan atau bandar yang menjadi tumpuan umum. Kita akan hantar anggota untuk bersama-sama polis," katanya.

Seorang penjual buah-buahan di Jalan Imbi berhampiran Bukit Bintang, yang hanya mahu dikenali sebagai Ching berkata polis dilihat sentiasa berada di kawasan-kawasan berdekatan menjalankan rondaan.

"Setakat ini, sepanjang berniaga, tiada kejadian tidak diingini dan kehadiran anggota keselamatan tentunya memberi keadaan lebih selesa," katanya.

Seorang pelancong dari India yang ditemui di sebuah pusat membeli-belah Bukit Bintang, Mahesh Kanna, 32, berkata beliau tidak berasa bimbang kerana kawasan berkenaan menjadi tempat tumpuan pelancong.

"Kedai-kedai dibuka seperti biasa. Saya berasa lebih selesa dan selamat dengan kehadiran polis walaupun bagi sesetengah orang tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku," kata beliau yang tiba bersama isterinya di negara ini sejak seminggu lepas.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS